BUKU PELAJAR - BAB 4-SEBATIAN KARBON




HALAMAN UTAMA
PILIHAN ANDA
KORANG NAK SAYA TOLONG SUBJEK SAINS KAN? INFORM SAYA KORANG NAK SAYA AJAR SAINS TINGKATAN BERAPA ?
Total of answers: 177
Statistics

Total online: 0
Guests: 0
Users: 0
WEBSITE PILIHAN
  • KEPUTUSAN PEPERIKSAAN
  • CARI
    ADS
    NOTA SAINS TINGKATAN 5 (BAHASA MELAYU)

    BAB 4-
    SEBATIAN KARBON

    1. APA ITU SEBATIAN KARBON?

    Sebatian karbon ialah bahan kimia yang mengandungi unsur karbon didalamnya. Terdapat 2 jenis sebatian karbon.

    1. Sebatian organik - sebatian karbon yang berasal dari benda hidup (haiwan & tumbuhan
    2. Sebatian tak organik - Sebatian karbon yang buakan berasal dari benda hidup (batu & mineral)


    Protein ialah satu contoh sebatian organik manakala kalsium karbonat ialah sebatian tak organik.

    Hidrokarbon ialah sebatian organik yang mengandungi unsur karbon dan hidrogen di dalamnya. Hidrokarbon berasal dari petroleum, arang batu atau gas asli.


    2. ALKOHOL SEBAGAI SEBATIAN KARBON

    Alkohol adalah bahan yang mengandungi unsur karbon, hidrogen dan oksigen di dalamnya. Etanol dan propanol adalah contoh alkohol. [nama tersebut berakhir dengan OL]

    Alkohol boleh dihasilkan melalui proses "penapaian" [alcoholic fermentation]. Penapaian dilakukan apabila yis menukarkan glukosa menjadi alkohol dan karbon dioksida.

    Alkohol mempunyai sifat istimewa seperti boleh larut dalam air dan senang terbakar untuk menghasilkan nyalaan biru. Alkohol juga boleh bertindak balas dengan asid organik untuk menghasilkan ESTER. Ester ialah bahan kimia berbau wangi yang sering digunakan untuk membuat perisa buah-buahan.

    Alkohol selalunya digunakan untuk membuat minuman keras. Dalam bidang perubatan alkohol boleh digunakan untuk membasmi kuman dan digunakan sebagai ramuan ubat batuk. Di sesetengah negara, alkohol digunakan sebagai bahan api kenderaan.

    Pengambilan alkohol boleh memudaratkan kesihatan manusia. Ia menyebabkan gangguan sistem saraf dan menyebabkan seseorang tidak berfikiran waras. Kehadiran alkohol dalam badan boleh merosakkan hati (sirosis hati) dan seterusnya boleh mengakibatkan penyakit jantung.
    Ketagihan alkohol telah menimbulkan banyak masalah sosial seperti penderaan kanak-kanak, kemalangan jalanraya dan kecacatan fetus.


    3. LEMAK JUGA SEJENIS SEBATIAN KARBON

    Seperti alkohol, lemak [FAT] juga mempunyai unsur yang sama iaitu karbon, hidrogen dan oksigen tetapi dalam komposisi yang berlainan.

    Lemak terbahagi kepada 2 jenis iaitu lemak tepu dan lemak tak tepu.

    Lihat perbezaan antara lemak tepu dan tak tepu dibawah :-

    LEMAK TEPU

    LEMAK TAK TEPU

    Berasal dari sumber haiwan seperti lembu, babi dan kambing

    Berasal dari sumber tumbuhan seperti kacang soya dan kelapa sawit

    Keadaan pepejal pada suhu bilik

    Keadaan cecair

    Mempunyai takat lebur yang tinggi

    Takat lebur yang rendah

    Tidak baik untuk kesihatan kerana mengandungi banyak kolestrol

    Tidak memudaratkan kesihatan kerana kandungan kolestrol yang rendah


    Lemak berfaedah kepada badan kerana ia memberi tenaga. Selain daripada itu ia juga membawa vitamin A,D,E dan K yang sangat penting kepada badan. Walau bagaimanapun, kita hendaklah memilih jenis lemak yang kita makan. Lemak tepu yang mengandungi kolestrol yang tinggi boleh menyebabkan penyakit jantung. Kolestrol yang berlebihan itu boleh terenap di dalam lumen arteri yang menyebabkan pengaliran darah tersekat. Ini menyebabkan jantung terpaksa mengepam darah dengan lebih kuat. Lama kelamaan jantung akan "letih" dan tidak boleh menanggung beban kerja yang lebih. Oleh itu jagalah pengambilan makanan anda.



    4. KELAPA SAWIT SEBAGAI SUMBER LEMAK KITA DAN SUMBER PENDAPATAN NEGARA

     

    Minyak kelapa sawit berasal dari buah kelapa sawit (gambar atas kiri). Buah kelapa sawit mengandungi sabut, tempurung dan isirung. Minyak kelapa sawit tertumpu di kawasan sabut dan isirung. minyak kelapa sawit yang berasal dari sabut disebut sebagai minyak sawit [palm oil] dan minyak yang berasal dari isirung disebut minyak isirung [palm kernel oil].

    Sila perhatikan struktur buah kelapa sawit berikut :-



    Pemprosesan Minyak Kelapa sawit melibatkan :-

    1. Pensterilan - Tandan (gambar atas kanan) dan buah disembur dengan stim untuk membunuh mikroorganisma dan melembutkan tandan.
    2. Pengekstrakan - Minyak diperah dari buah kelapa sawit dengan "penekan skru".
    3. Penulenan - Minyak kelapa sawit ditulenkan dengan mengalirkannya kedalam "karbon diaktifkan" untuk membuang bau dan menjernihkannya.





    Minyak kelapa sawit digunakan untuk membuat minyak masak, majerin dan sabun. Ia berkhasiat kerana ia mengandungi vitamin A dan E yang tinggi.

    Industri kelapa sawit penting kerana ia menyediakan banyak peluang pekerjaan di ladang. Minyak Kelapa sawit juga merupakan sumber pendapatan ekspot negara. Oleh sebab itu penyelidikan dan pembangunan kelapa sawit adalah sangat penting. Semua aktiviti penyelidikan berkaitan dengan industri kelapa sawit dilaksanakan oleh MPOB (Malaysian Palm Oil Board).
    Potensi kelapa sawit amatlah besar. Minyak kelapa sawit telah dikenal pasti sebagai satu sumber bahan api kenderaan. Ia juga telah dikenal pasti sebagai sumber vitamin A dan E yang baik.


    5. SABUN SEBAGAI SATU PRODUK MINYAK KELAPA SAWIT

    Sabun diperbuat daripada minyak kelapa sawit. Molekul Minyak kelapa sawit dipecahkan oleh tindakan haba dan alkali pekat (Natrium hidroksida). Sabun yang terhasil dimendakkan oleh garam dan seterusnya ditapis untuk membentuk pepejal sabun.
    Sabun terbentuk dari molekul gliserol dan asid lemak. "Kepala" Molekul sabun suka kepada air manakala "ekor"nya suka kepada gris. Sifat ini menyebabkan sabun sangat sesuai digunakan sebagai ejen pencuci.

    Mekanisme tindakan pencucian gris dari kain adalah seperti berikut :-



    Ekor molekul sabun melekat pada gris--->Kepala molekul sabun berada dalam air---> Apabila air cucian dikocak, molekul sabun akan menarik gris keluar dari kain----> Kekotoran tertanggal dari kain.




    6. APA ITU POLIMER?

    Tahukah anda nasi yang anda makan setiap hari adalah terdiri daripada glukosa. Para saintis mendapati bahawa beribu-ribu glukosa membentuk rantai panjang. Rantai panjang ini ialah kanji, bahan yang terdapat dalam nasi. Para saintis telah bersetuju memangggil kanji sebagai satu "POLIMER" dan glukosa sebagai "MONOMER". Polimer secara ringkasnya adalah rantai panjang molekul-molekul. Monomer pula ialah molekul yang membentuk polimer itu.

    Dalam dunia kita, terdapat 2 jenis polimer. Polimer asli ialah polimer yang berasal dari benda hidup. Polimer sintetik ialah polimer buatan manusia dengan menggunakan bahan kimia. Seperti contoh di atas, kanji ialah polimer asli kerana ia berasal dari tumbuhan padi. Perspeks ialah polimer sintetik. Ia terbina dari sejenis bahan kimia iaitu metil metakrilat (Puiii...susahnya nak sebut). Metil metakrilat ni sebenarnya ialah monomer bagi perspeks. Perspeks ialah polimer yang keras. . Perspek digunakan untuk membuat kerangka basikal. Perspek juga boleh digunakan untuk membuat lampu kereta mewah. Mari kita kaji dengan lebih mendalam sejenis polimer asli yang banyak terdapat di negara kita.




    7. POLIMER ASLI

    Imbas kembali sebelum kita teruskan. Monomer ialah molekul kecil. Polimer ialah molekul besar dan panjang monomer-monomer. Getah asli ialah satu contoh polimer yang terdiri dari rantaian monomer "isoprena".

    Pempolimeran ialah proses menyatukan monomer-monomer untuk membentuk polimer. Disebaliknya Penyahpolimeran ialah proses memecahkan polimer untuk menghasilkan monomer.

    Getah asli merupakan polimer semulajadi yang sangat penting kepada manusia. Getah asli merupakan satu lagi sumber pendapatan negara. Getah asli sangat kenyal. Ini adalah disebabkan oleh molekulnya yang mudah menggelongsor antara satu sama lain apabila ditarik. Getah asli boleh diperolehi dari pokok getah. Pokok getah yang ditoreh, mengeluarkan susu getah yang disebut "lateks". Lateks boleh dibekukan (istilah yang sesuai ialah "menggumpal") dengan mencampurkan asid etanoik kedalamnya. Ini memudahkan pengusaha menjadikan ia dalam bentuk kepingan yang mudah dijual. Untuk mencegah penggumpalan pula, larutan ammonia ditambahkan kedalam lateks. Ini membolehkan lateks dihantar ke kilang penggumpalan dengan menggunakan lori tangki.

    Jika latek didedahkan, ia juga boleh menggumpal secara semula jadi. Ini adalah kerana ia mudah diserang oleh bakteria. Bakteria tersebut menghasilkan asid yang seterusnya menggumpalkan lateks.
    Kepingan getah asli seterusnya diproses untuk menghasilkan barangan lain seperti tayar, sarung tangan dan kondom. Proses "Pemvulkanan" getah digunakan untuk mengeraskan getah asli. Ia dilakukan dengan memasak getah asli dengan serbuk sulfur. Atom sulfur boleh mengikat molekul getah untuk membentuk "rangkai silang sulfur". Rangkai silang ini menghalang rantaian molekul getah dari menggelongsor. Getah menjadi keras. Getah asli telah divulkankan [getah tervulkan] sesuai digunakan untuk membuat tayar. Ini menyebabkan industri getah boleh menyumbangkan pendapatan yang lumayan kepada negara.


    8. PENGARUH SEBATIAN KARBON KEPADA KEHIDUPAN

    Sebatian karbon mempunyai banyak kegunaan kepada manusia. Ia digunakan sebagai sumber bahan api, makanan,minuman dan tayar.

    Oleh sebab itu ramai ahli sains telah berkecimpung dengan aktifnya dalam aktiviti penyelidikan sebatian karbon. Teknologis polimer menyelidik dan cuba memperluaskan kegunaan sebatian karbon seperti polimer. Pembangunan produk baru penting supaya hidup manusia lebih sejahtera. Kita hendaklah berterima kasih terhadap sumbangan mereka. Bayangkanlah jika kenderaan anda tidak bertayar.


    BUKU_PELAJAR © 2014